;

Thursday, February 25, 2016

Khurafat dalam masyarakat melayu

1.0 Pengenalan
Khurafat adalah salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada Khalik (pencipta/Allah) kepada makhluk (yang dicipta). Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada Allah dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya bagi mendapat kebaikan daan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan keyakinan hanya Allah. 
Jika dilihat senario masyarakat Islam di Negara ini, masih terdapat segelintir yang masih percaya dengan perkara-perkara khurafat. Contohnya memakai tangkal dan azimat, percaya kepada tuah, memohon bantuan kepada sesuatu selain dari Allah. Amalan khurafat seperti ini boleh menjadikan seseorang itu melakukan syirik kepada Allah.
Dalam tugasan ini akan mengupas apakah yang dimaksudkan dengan khurafat dan apakah pandangan Islam tentang amalan-amalan yang berunsur khurafat. Disamping itu turut digambarkan beberapa jenis amalan-amalan khurafat yang masih diamalkan dalam kehidupan masyarakat Islam. Turut dihuraikan pendapat ulama mengenai beberapa kelompok amalan khurafat yang dikaitkan dengan masyarakat melayu berpandukan dengan hadis Rasulullah.
Dalam menyempurnakan tugasan ini, saya turut membuat pembacaan dan pencarian bahan mengenai amalan-amalan khurafat yang berlaku di kawasan atau tempat saya. Oleh kerana populasi masyarakat setempat bagi kawasan yang saya diammi merupakan masyarakat berketurunan melayu banjar, kupasan tugasan amalan khurafat ini saya tumpukan kepada amalan khurafat yang subur dalam kehidupan masyarakat banjar.

2.0 Apakah yang dimaksudkan dengan Khurafat
Perkataan khurafat di ambil dari perkataan bahasa arab : kharafa-yakhrifu-kharfan- khurafatan. Selain itu Kha- ri-fa juga membawa maksud rosak akal kerana terlalu tua. Dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai "superstition".
Dari segi bahasa khurafat membawa maksud  kepercayaan  yang  karut,  dongeng  dan  perkara tahyul.  Contohnya ,  kata-katanya  itu banyak pekara yang diada-adakan ataupun bida’ah . Kamus Dewan mendefinisikan 'khurafat'  sebagai ajaran yang bukan-bukan, karut, atau tahyul.
Manakala menurut istilah syarak pula mengertikan perkara ini sebagai  semua kepercayaan yang diyakini kegiatannya memiliki dasar dan bersumber daripada ajaran agama Islam walaupun pada hakikatnya perkara tersebut adalah bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, iaitu penutup para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t.
Khurafat yang diyakini oleh pelakunya sebagai sesuatu yang dibenarkan oleh agama mungkin sahaja dapat dapat memberikan ketenangan dan kemantapan jiwa bagi melakukannya. Malangnya, kerana perbuatan itu pada dasarnya menyimpang dari tuntutan agama yang sebenar, maka kenikmatan itu adalah bersifat semu, iaitu tidak kekal. Hal ini sama sekali bertentangan dengan fitrah manusia kerana ia bertentangan dengan akal sihat.
Fokus utama istilah khurafat merujuk kepada :
  1. Pegangan atau iktikad yang tidak bersandarkan kepada asas realiti dan tidak juga bersandarkan asas agama, seumpama ungkapan atau perbuatan atau juga bilangan tertentu yang disangkakan boleh mendatangkan kebahagian ataupun kecelakaan.
  2. Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak bersumber dari ajaran agama, tetapi diyakini bahawa hal tersebut memiliki dasar dari agama.
  3. Dongeng, kisah, legenda, cerita, asumi, kepercayaan atau keyakinan yang tidak benar. Ia adalah iktikad yang batil, di mana lawannya ialah iktikad yang benar (al-Haq)
  4. Setiap pengajaran yang jelas bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
  5. Semua perkara yang dicipta oleh manusia melalui pemikiran karutnya tanpa asas syariah atau akal sihat; kemudian diyakini pula sebagai boleh mendatangkan manfaat ataupun menolak bala.

3.0 Contoh Amalan Khurafat
Khurafat masih wujud di dalam masyarkat Islam sekarang, bahkan ia juga telah muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai samada dalam bentuk perbuatan tertentu, ungkapan tertentu, cerita atau kisah tertentu, bilangan tertentu, serta  konsep,  prinsip  atau  mazhab  tertentu.  Amalan  mengunjungi  kubur  yang dianggap keramat mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial  membuanancak  bagi  menghalau  hantu  adalah  sebahagian  bentuk  gejala khurafat. Antara amalan yang masih mewarnai kehisupan masyarakat melayu seperti
·         Melenggang Perut.
·         Temasya Mandi Safar
·         Azimat
·         SMS Atau Surat Berantai

4.0 Kelompok amalan-amalan Khurafat lain
Kita telah melihat beberapa contoh amalan khurafat di atas, ada sejumlah lagi amalan khurafat yang sememangnya banyak berlaku dalam masyarakat melayu  hari ini. Amalan khurafat itu bolehlah diikelompokkan sebagaimana berikut;
·         Anggapan sial atau membawa malapetaka kepada seseorang ataupun masyarakat dengan kehadirannya dan amalan buang sial: tepung tawar, Lenggang perut, Mandi bunga/Sintok limau dan Mandi Safar. 
·         Kepercayaan kepada hantu dengan alasan untuk tinggal selamat di suatu tempat atau memberi makan kepada hantu peliharaannya ataupun konon-kononnya untuk membayar niat tertentu. 
·         Ilmu seru gerak yang kebiasaannya diamalkan oleh kumpulan silat yang mengamalkan jurus kebatinan.
·         Jampi serapah yang ada unsur-unsur syirik atau menghina Islam atau tidak difahami maksudnya.
·         Mempercayai percakapan, ramalan dan tilikan dukun samada terhadap perkara yang telah lalu atau di masa akan datang.
·         Memohon dengan percakapan atau ungkapan yang tidak ada asal usul suruhan dalam Islam seperti kata-kata “Tabik Tok Nenek” ketika melalui sesuatu tempat atau “Minta simpang Malaikat 44” ketika mengharapkan sesuatu yang tidak diingini.
·         Penggunaan tangkal di rumah atau dipakai di badan yang bukannya dari sesuatu yang tsabit dalam agama serta tidak dijaga dari dibawa ke tempat-tempat yang bukan suci.
·         Meletakkan Ladam Kuda dipintu rumah dengan alas an boleh menghindari dari gangguan makhluk halus.
·         Mengantung isim yang dipahat di logam tertentu dengan berbagai-bagai rajah dan tulisan yang bukannya ayat al-Qur’an atau sesuatu yang warid dalam agama.
·          Bersahabat dan meminta pertolongan kepada Jin/Khadam/Masuk Tok Nenek dalam badan (menurun).
·         Mengamalkan ilmu pengasih
·         Perasapan kemenyan dengan tujuan supaya menghalau jin dan hantu di dalam rumah dan menjemput malaikat datang ke rumah.
·         Meletakkan air di dalam bekas untuk dijamukan kepada para malaikat “Air Malaikat”.
·         Menganiaya atau menzalimi orang melalui sihir, santau dan pukau.



0 comments:

Popular

Live Radio With Me

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP