TUGASAN HBEF2103 PSIKOLOGI PENDIDIKAN OUM SEM 1
1.0 PENGENALAN
Psikologi adalah merupakan bidang kajian yang secara sistematik dan saintifik terhadap tingkah laku dan jiwa manusia. Perkataan ini berasal dari tamadun Greek purba iaitu psyche yang bererti ‘jiwa’ dan perkataan logos yang bererti ‘kajian tentang sesuatu’.
Psikologi pendidikan pula merupakan dua bidang yang digabung dan mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Menurut Kamus Dewan pendidikan bermaksud mendidik, pengetahuan mendidik, didikan, latihan, ajaran. Ahli-ahli psikologi mengaplikasikan prinsip psikologi ke dalam bidang pendidikan bagi mengkaji proses-proses pertumbuhan dan perkembangan serta perbezaan individu, proses belajar, strategi pengajaran dan pembelajaran dan kaedah untuk menilai pencapaian yang secara tidak langsung dapat mengembangkan minat dan bakat murid supaya akhirnya dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Antara pendekatan yang utama yang banyak dipraktikkan ialah pendekatan behaviorisme, pendekatan kognitif, pendekatan humanis, pendekatan psikoanalitik dan pendekatan neurobiologi. Kelima-lima prespektif ini digunakan sebagai satu garis panduan untuk melihat tingkah laku manusia dari beberapa sudut yang berbeza.
Bagi melihat pendekatan psikologi yang dinyatakan dengan tingkah laku murid dalam bilik darjah, kajian ke atas dua orang murid sekolah rendah telah dipilih di mana seorang berpencapaian akademik baik dan seorang mempunyai berpencapaian akademik lemah sebagai responden untuk menunjukkan perkaitan pendekatan psikologi tersebut bagi mencari punca mengapa keadaan ini berlaku seterusnya mencari satu remidi berdasarkan pendekatan tersebut untuk meningkatkan lagi pencapaiannya. Masalah yang berkaitan dengan pengendalian dan pendidikan murid ini memang merupakan masalah yang membimbangkan, mengganggu serta mencabar keupayaan guru dan ibu bapa semenjak bermulanya pendidikan formal.
2.0 Murid Lemah dan Murid Cemerlang dalam konteks Psikologi.
Murid yang berpencapaian akademik yang lemah merupakan murid yang tidak mempunyai kebolehan untuk mengikuti pelajaran seperti murid lain, dan oleh itu mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara normal di sekolah berbanding murid cemerlang. Jika dibandingkan dengan murid lain dalam lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang jelas dalam proses pembelajaran. Mereka biasanya tidak dapat mengikuti kurikulum sekolah yang biasa dan juga tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru yang menggunakan kaedah dan prosedur pengajaran yang biasa. Burt (1950) menyifatkan murid lemah sebagai murid yang pada pertengahan alam persekolahannya tidak berkebolehan untuk mengikuti pelajaran dalam kelas satu peringkat lebih rendah daripada kelas yang sesuai dengan umurnya. Mengikut Kirk (1972), kemunduran pada umumnya merupakan label yang diberikan kepada kes murid yang pencapaian akademiknya jauh lebih rendah daripada kebolehan semula jadinya.
Pada dasarnya, murid lemah kerana kelemahan intelek atau lembam . Tetapi ia tidak semestinya benar kerana ramai juga murid yang mundur tetapi tidak lembam. Kemunduran mereka mungkin bukan disebabkan kerencatan intelek tetapi keadaan persekitarannya atau faktor-faktor ekstrinsik seperti kaedah mengajar yang tidak berkesan, sikap mental dan emosi yang tidak sesuai terhadap guru dan pelajaran, penyakit dan keadaaan fizikal yang lemah. Walaupun kemunduran pada asasnya menunjukkan satu keadaan intelektual tetapi pada hakikatnya ia menunjukkan satu ciri atau sifat psikologi yang timbul dari personaliti hasil gabungan sifat yang diwarisi dan pengaruh persekitaran dalam proses perkembangan yang akhirnya mempengaruhi personaliti individu.
Dalam pengkajian terhadap dua orang pelajar berbeza aras pencapaian akademik mereka, ianya mempunyai perbezaan yang jelas. Beberapa orang tokoh psikologi telah membuat kajian sebelum ini dan menetapkan beberapa faktor yang mempengaruhi corak pembelajaran murid di sekolah. Menurut Slavin (1997) terdapat banyak perbezaan individu yang boleh mempengaruhi proses pembelajarannya di sekolah. Berikut aspek yang diketengahkan oleh Slavin.
i. Budaya
ii. Sosial
iii. Gaya kognitif dan belajar
iv. Sistem nilai
v. Status sosio ekonomi
vi. Aspirasi
vii. Kecerdasan
viii. Lokasi tempat tinggal
ix. Kesihatan\
x. Bangsa
xi. Personaliti
xii. Emosi
xiii. Fizikal
Aspek utama yang dapat dikesan daripada dua orang murid ini adalah sistem nilai, emosi, kognisi, gaya belajar dan sosial. Kajian kepada dua orang murid dinyatakan dalam penerangan berikut.
2.1 Sistem nilai
Peranan persekitaran terhadap pencapaian murid berbeza adalah sama, sama ada di bandar atau di luar bandar. Namun terdapat murid yang hidupnya berada dalam persekitaran yang biasa dengan penghinaan, cemuh mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain. Ada sebaliknya dengan pujian dan penghargaan. Walaupun sikap ini dianggap biasa di sesetengah tempat , bahkan biasa bagi sesetengah orang dewasa ditempat tersebut, tetapi ia mempunyai kesan dari segi tahap keyakinan diri dan perasaan dalam pergaulan dan belajar bersama rakan-rakan mereka yang lain.
Personaliti memainkan pernan yang jelas dalam pembentukan sesorang murid. Murid yang cemerlang mempunyai persoanliti yang lebih menonjol dan popular. Manakala murid yang lemah dilihat sering meyembunyikan diri dan sentiasa bersendirian. Murid yang lemah kerap dilihat bergaul dengan kumpulan yang ahlinya suka melakukan perbuatan nakal, amat sedikit tingkah laku baik yang dipamerkan. Kesannya murid-murid ini biasanya bertingkahlaku menyeleweng jauh daripada tingkah laku yang diterima oleh sosial dan prinsip yang diterima oleh masyarakat termasuk tabiat malas belajar seterusnya.
Ibu bapa murid berakademik lemah biasanya tidak memberi perhatian dan menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelajaran anak-anak mereka. Murid-murid yang mempunyai ibu bapa seperti ini bukan sahaja mengalami kemunduran akademik bahkan sesetengahnya kembali menjadi buta huruf. Murid-murid yang mempunyai kecenderungan untuk bersikap resesif, terlalu agresif, sentiasa bimbang, gemuruh, tiada keyakinan diri biasanya jauh tertinggal dalam pencapaian akademik. Tanda dan tingkah laku bermasalah ini timbul akibat penjagaan ibu bapa yang salah, yang dinyatakan melalui penyisihan mereka, terlalu menguasai atau terlalu memanjakan atau apabila hubungan antara ibu bapa jauh tidak memuaskan.
Perkara sebaliknya berlaku kepada murid berakademik baik. Peranan positif ibu bapa memungkinkan murid ini terus cemerlang dalam akademiknya. Ibubapanya telah cuba menerapkan nilai murni kepadanya dengan membantu mengajar dan membuat kelas tambahan sendiri. Disamping itu ibubapanya juga membantu menghantar ke kelas tambahan dan sentiasa memberi semangat dengan pujian.
2.2 Emosi
Kehidupan harian di rumah dicirikan oleh emosi kebimbangan atau ketakutan, perbalahan yang kerap berlaku, garang dan dominan ataupun terlalu mengongkong atau gangguan neurotik, mereka akan membesar dalam suasana emosi yang tidak dapat mengembangkan kualiti kebebasan dan keyakinan diri yang penting untuk mencapai kemajuan dalam persekolahannya.
Murid yang lemah terlalu dimanjakan dari lahir sehingga tidak pernah berpeluang untuk berusaha sendiri akan mengembangkan sikap bergantung kepada orang lain dan tidak mempunyai inisiatif untuk memajukan diri. Ini disemarakkan lagi dengan sikap negatif dari ibubapanya sendiri yang sambil lewa, tidak peduli, tidak menepati waktu dan tidak menunaikan tanggungjawab. Sikap seperti ini akan menggalakkan murid tersebut menjadi tidak berdisiplin, tidak tahu mengurus diri, tidak mempunyai peraturan, sanggup menipu dan tidak jujur dalam kerja-kerja sekolah sehingga mengakibatkan kemunduran akademik. Dari keterangan di atas jelas menunjukkan perkaitan dengan teori ahli psikoanalitik yang menekankan kepentingan zaman awal individu dan mempercayai bahawa peristiwa masa kecil mempunyai kesan dalam perkembangan individu.
Berbeza dengan murid cemerlang yang sentiasa dididik dengan disiplin dan suasana keluarga yang harmoni. Peraturan dan tanggungjawab di rumah sendiri telah melatih murid ini untuk sentiasa mematuhi peraturan sekolah. Tanggungjawab ibubapa dengan sentiasa membantu memberi semangat kepadanya untuk maju telah meningkatkan dayausaha untuk berjaya.
2.3 Kognisi
Pelajar yang lemah menunjukkan perkembangan mental yang lambat dan tidak menepati perkembangan pada umurnya. Proses pembelajaran yang perlahan dalam perkembangan kognitif murid ini telah menyebabkan kesan negatif dalam sesi pembelajarannya. Murid ini sentiasa tidak mampu mengikuti pelajaran walaupun kelihatan amat mudah untuk difahami. Ini memperlihatkan bahawa tahap kognitif murid ini tidak berada pada tahap umurnya.
Murid-murid yang berakademik baik biasanya memperolehi perkembangan mental sepatutnya disebabkan persekitaran yang mengalakkan mereka melalui proses-proses pekembangan pemikiran sepertimana penekanan yang diberikan dalam aliran kognitivisme. Menurut Piaget perkembangan kognitif kanak-kanak akan melalui satu siri urutan yang berperingkat-peringkat iaitu peringkat deria motor (0-2 tahun), peringkat praoperasi (2-7 tahun), peringkat operasi konkrit (7-11 tahun) dan peringkat operasi formal (11 tahun ke atas). Ibu bapa murid berakademik lemah seringkali jarang memberi peluang anak mereka membuat keputusan dan tidak mendedahkan mereka dengan situasi yang membantu perkembangan pemikiran. Jika murid-murid ini tidak dapat berfikir dan mentafsir sesuatu mengikut peringkat umur yang sepatutnya mereka bolehlah dikatakan murid mundur. Schonnel (1949) berpendapat bahawa 65% hingga 80% murid-murid mundur adalah lembap dan selebihnya mempunyai kesukaran dalam pelajaran kerana tidak dapat menyesuaikan diri dari segi sosial dan emosi.
2.4 Sosio Ekonomi
Faktor ekonomi keluarga juga menjadi faktor yang mempengaruhi gaya belajar murid tersebut. Dalam keluarga besar yang keupayaannya terhad, taraf kehidupan biasanya rendah dan tidak terdapat cukup makanan yang berkhasiat yang tidak bagus untuk perkembangan minda. Rumah yang sesak mengakibatkan satu lagi kekurangan atau penderitaan yang serius. Terdapat kurangnya perhubungan antara ibu bapa dan anak-anak yang menyebabkan ibu bapa kurang memberikan galakan dan rangsangan serta kasih sayang kepada anak-anak mereka. Keadaan ini juga akan menimbulkan lagi masalah, misalnya masalah gangguan masa tidur, rehat dan keletihan yang akan memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan seterusnya pencapaian akademik mereka. Jelas di sini keperluan asas manusia dari yang rendah sehinggalah keperluan peringkat tertinggi seperti yang terdapat dalam Keperluan Herarki Maslow akan memberikan kesan terhadap perkembangan individu jika tidak sempurna atau gagal dipenuhi.
2.5 Sosial
Murid sekolah rendah secara kebiasaannya memang suka bermain dan sentiasa ingin berkawan. Pelajar yang aktif dan lebih maju biasanya suka berkawan dan aktif dalam bilik darjah. Selain pembelajaran dalam bilik darjah murid yang cemerlang juga biasanya aktif dalam aktiviti luar bilik darjah sepeti aktiviti kokurikulum.
Bagi murid yang lemah, keadaan ini berlaku sebaliknya. Murid yang lemah biasanya rasa terasing dan kurang mempunyai kawan serta bersifat pasif ketika dalam bilik darjah. Pelajar jenis ini suka menyendiri dan membentuk gaya pembelajaran perseorangan. Dia hanya suka belajar sendiri dan gemar menjauhkan diri dari rakan-rakan yang lain.
3.0 Faktor-faktor utama yang mempengaruhi perbezaan individu
3.1 Faktor baka
Perbezaan yang jelas dapat dilihat kepada dua orang murid ini yang menunjukkan bahawa wujud perbezaan dari segi baka. Setiap orang akan mewarisi daripada ibubapanya sebahagian besar dari segi paras rupa, tahap kecerdasan, tahap aktiviti, tret personaliti, gaya bahasa, gaya hidup, dikap dan minat.
Murid yang lemah ini telah mewarisi sifat diri ibubapanya yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dan masih tidak membantu dalam usaha pembelajaran anaknya. Dengan mempunyai pendidikan yang rendah , ibubapa murid ini gagal memberi bantuan sewajarnya dalam proses pendidikan anaknya.
3.2 Faktor Persekitaran
Selain itu murid ini juga dilihat tidak suka mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Setelah diteliti dengan kehidupannya dirumah, keluarganya tidka menitikberatkan akan peratuaran dan disiplin dalam kehidupan. Menurut Baumrind (Santrock,2001) terdapat empat bentuk asuhan keluarga yang memberi kesan kepada proses pembelajaran anak-anak.
a. Ibubapa yang autoritarian
Ibubapa yang sentiasa mengenakan peraturan dan mahukan anak mereka mematuhi serta menghormati mereka.
b. Ibubapa yang autoritatif
Ibubapa yang sentiasa menggalakkan anak-anak mereka berdikari dengans edikit kawalan serta diberi peluang untuk berkomunikasi secara bebas dengan ibubapa.
c. Ibubapa yang mengabaikan anak
Ibubapa jenis ini bersifat permisif iaitu melepaskan tanggungjawab dengan membiarkan dan melepaskan kehidupan kepada anak mereka secara bebas. Mereka lebih sibuk dengan hal sendiri dengan tidak memperdulikan anak dan keluarga.
d. Ibubapa pemanja
Ibubapa ini masih bertanggungjawab tetapi kurang mendisiplinkan anak-anak, mereka percaya dengan memberi kebebasan kepada anak-anak akan melahirkan anak yang kreatif dan berkeyakinan tinggi.
4.0 Langkah-langkah mengatasi masalah perbezaan pencapaian akademik
Guru yang baik mampu melihat segala permasalahan berkaitan akademik murid dari perspektif psikologi, termasuk setiap aspek perkembangan fizikal, mental, emosi dan juga intelektual, sekali lagi persekitaran murid-murid ini baik di sekolah ataupun di rumah harus diberi perhatian yang secukupnya kerana terdapat interaksi antara perkembangan dan persekitarannya. Pendekatan yang berbeza juga perlu diterapkan bagi mengimbangi permasalahan setiap murid tersebut. Kaedah yang digunakan akan dijelaskan bagi proses pengajaran dan pembelajaran bagi murid yang berbeza pencapaian akademiknya
4.1 Pendekatan Behaviorisme
Guru yang baik untuk murid-murid adalah individu yang praktis, bukannya hanya mempunyai kecenderungan akademik tetapi mempunyai minat yang konkrit, dan berbakat dalam kerja manual dan pernyataan artistik dan bukan mereka yang hanya pandai menyatakan teori dan bercakap sahaja. Dalam pendekatan Behaviorisme murid-murid memerlukan pujian, pertolongan yang tersusun, pertimbangan yang bersimpati terhadap kesukaran mereka, dan minat yang berkekalan di pihak guru atau orang yang membimbingnya. Guru tersebut bukan sahaja dapat menerima murid seadanya dari segi akademik yang lemah atau cemerlang, tetapi menyedari murid-murid tidak semuanya sempurna sehingga setiap murid ada kebolehan dan mempunyai kualiti yang berguna. Guru mestilah bersikap berperikemanusiaan dan pada masa yang sama saintifik. Sekali lagi, guru yang baik adalah seorang pemimpin dan pendiagnosis dan bukannya setakat pengajar, seorang pemerintah atau penguatkuasa undang-undang dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menarik minat murid.
4.2 Pendekatan Psikoanalitik
Pendekatan yang diterangkan di atas membawa kita kepada menghadapi murid-murid yang mempunyai masalah emosi, pembawaan dan konflik mental yang berbeza. Pendekatan psikoanalitik perlu digunakan untuk menghadapinya. Usaha-usaha perlu diambil untuk mewujudkan penyesuaian semula di rumah dan juga di sekolah. Pendidikan ibu bapa yang bertujuan untuk mengubah kaedah pengasuhan ibu bapa kepada satu kaedah yang lebih sesuai, merupakan satu sistem perkhidmatan sosial yang bertujuan untuk memperbaiki persekitaran fizikal di rumah dan di luar rumah. Dalam hal ini, kerjasama dari guru bimbingan kaunseling, guru, dan ibu bapa adalah diperlukan. Jika terdapat faktor emosi di rumah yang menyebabkan kekerapan tidak hadir ke sekolah dan lemah dalam akademik, lawatan ke rumah atau pertolongan pegawai kebajikan masyarakat adalah perlu. Bagi murid -murid yang berjaya dan cemerlang akademik serta stabil kekeluargaannya boleh menjadi sahabat atau pembimbing rakan sebaya di sekolah, kelas dan di sekolah. Secara tidak langsung murid-murid ini terus cemerlang. Kemahiran interpersonal dan penerapan nilai-nilai murni merupakan salah satu elemen yang penting dalam pendekatan psikoanalitik.
4.3 Pendekatan Kognitivisme
Setelah masalah emosi dapat diatasi melalui penerangan di atas, pemeringkatan isi pembelajaran pula perlu dilaksanakan menurut pendekatan kognitivisme. Dalam hal ini, kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah perlulah dapat menuntun dan membina pengetahuan murid dari konkrit dan analogi kepada masalah yang lebih abstrak. Setiap tajuk pelajaran perlu disusun dan dipertingkatkan. Ini membolehkan penyampaian tajuk pelajaran daripada peringkat yang senang kepada peringkat yang susah bagi membantu murid lemah atau mundur.
Isi dan aktiviti-aktiviti pelajaran yang disediakan perlu selaras dengan perkembangan kognitif murid-murid. Jika tidak, bahan atau aktiviti pelajaran tersebut mungkin akan membosankan mereka. Terlalu sukar bagi pelajar lemah akademik dan terlalu senang bagi pelajar baik atau cemerlang akademik. Aktiviti pelajaran ini seharusnya mengandungi tugas-tugas konkrit atau topik yang wujud dari minat semulajadi murid-murid tersebut dan kehidupan seharian. Penggunaan alat pandang dengar seperti kad gambar, filem, carta dan model bagi menarik minat dan tumpuan dalam kelas. Keyakinan diri bagi murid-murid lemah perlu diwujudkan. Tabiat kejayaan dengan bimbingan guru perlu diadakan secara sabar dan perlahan-lahan, menentukan yang setiap langkah benar-benar telah dikuasai sebelum memperkenalkan dengan latihan yang lebih kerap lagi.
3.4 Pendekatan Humanistik
Melalui pendekatan ini, murid-murid yang lemah atau mundur perlu diberi perhatian dan kasih sayang sebagaimana dalam Hireaki Maslow. Guru yang mengajar mereka seharusnya sanggup turut sama bergaul dengan mesra dan melayan mereka sebagai individu dengan penuh kesabaran. Jika tidak, akan menyebabkan mereka tidak berkeupayaan atau tidak ada motivasi untuk belajar walaupun tentang perkara yang mereka ada kebolehan untuk mempelajarinya. Ini memerlukan pengajaran individu dalam kumpulan kecil. Pemeringkatan isi dalam pelajaran perlu disusun agar murid-murid lemah mempelajari sesuatu yang bermakna dan dihargai seperti murid berakademik baik..
Apabila ini berlaku, murid akan mempunyai hasrat untuk belajar, berkembang, meneroka dan mencipta. Pembelajaran huministik menitikberatkan perkembangan secara bebas dan bertujuan untuk membantu mereka menangani tekanan keluarga dan masyarakat. Hasil sosial dan emosi lebih dipentingkan daripada hasil akademik . Ahli-ahli pembelajaran humanistik berpendapat bahawa pada akhirnya, pencapaian akademik murid akan menjadi lebih baik berbanding dengan sistem pembelajaran tradisional. Ini berlaku kerana dalam pengajaran humanistik, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan. Cara ini menyebabkan pembelajaran menjadi amat bermakna dan berupaya menggembirakan murid. Secara tidak langsung tumpuan dan minat murid-murid terhadap pembelajaran menjadi seronok dan menarik.
3.5 Pendekatan Biologi
Kecacatan berhubungkait dalam pembelajaran pelajar. Menurut Arnold Gesell (1880-1961), baka yang dikaitkan dengan endogen merupakan faktor penting perkembangan kanak-kanak yang membentuk tingkah laku. Oleh yang demikaian, kemudahan patut disediakan untuk memulihkan penyakit atau kecacatan yang didapati melalui pemeriksaan itu. Bantuan cermin mata boleh diberikan kepada murid mundur yang disebabkan oleh masalah penglihatan begitu juga dengan alat bantuan pendengaran untuk mereka yang mengalami masalah pendengaran. Kaunseling kepada ibu bapa harus diberikan kerana ada diantara mereka yang berasa malu atau gagal mengesan kecacatan mental yang dihadapi oleh anak mereka yang mundur.
0 comments:
Post a Comment