Baik Buruk Couple
oleh : Hidayah Rosni
couple bkn zina??? s0 interesting..!.ntuk mmahami erti sbenar zina hati serta c0uple......slmt sAbar mmbce.. by I Love Allah SWT and Prophet Muhammad SAW on Sunday, April 24, 2011 at 8:24am Assalamualaikum semua.. Kawan-kawan.. Baru-baru ini, saya ada t...erbaca salah satu post dalam ruangan group ini yang berkisar soal couple, atau lebih tepat, bercinta.. Terdetik di hati saya untuk menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut.. Hal ini kerana, saya mahu tahu apa hukum yang sebenarnya.. Alhamdulillah, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, saya berjaya mengetahui tentang perkara ini dengan lebih tepat dan mendalam.. Saya telah bertanya pada seorang ustaz tentang isu ini.. Beliau kemudiannya membalas email saya, dan dalam balasannya itu, beliau meminta saya berkunjung ke sebuah laman web kerana di situ beliau telah pun menyediakan jawapan bagi persoalan tersebut.. Oleh itu, inilah isi kandungannya.. Saya sekadar hendak berkongsi ilmu yang saya terima.. MEMAHAMI MAKSUD COUPLE DAN ZINA HATI Apabila saya terlibat dengan kerja dakwah, barulah saya tahu saya telah banyak melakukan zina hati,” kata seorang pemuda. “Itulah dulu pun saya ada kekasih, dan kami saling cinta menyintai dan merancang untuk berkahwin apabila sampai masanya, tapi apabila saya tahu hubungan saya dengan dia tu menyebabkan saya dan dia terjebak dengan zina hati maka saya putuskan” Seringkali saya mendengar kata-kata seperti itu keluar melalui kata-kata atau tulisan daripada mereka yang melibatkan diri dengan gerak kerja persatuan-persatuan Islam atau kerja-kerja dakwah remaja. Pada mulanya saya buat tak kisah atau dengan kata lain buat tak pot kerana saya menganggap kes-kes itu sebagai kes terpencil yang biasanya berlaku di zaman sekolah menengah. Biasalah tu budak-budak sekolah yang baru dalam proses pra-matang kepada matang, baru nak up orang kata, pedulikanlah. Tapi apabila ada pelajar di peringkat universiti yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan mirip sebegitu, saya mula tertanya-tanya dan bersyak wasangka, “eh takkanlah pelajar universiti yang bakal keluar sebagai pemimpin masyarakat pun tak faham-faham lagi, mustahillah”. Tapi ternyata, sangkaan saya itu meleset sama sekali. Mimpi buruk melanda diri setelah melancong ke laman-laman web internet yang mempromosikan keislamikkan mereka. Saya terkejut apabila mendapati ketempangan yang cukup serius dalam memahami apa yang diistilahkan sebagai zina hati. MAKSUD ZINA HATI DAN ZINA KECIL YANG LAIN Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam: (إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ). رواه البخارى (6/2438، رقم 6238)، ومسلم (4/2046، رقم 2657)، وأبو داود (2/246، رقم 2152)، والبيهقى فى شعب الإيمان (4/365، رقم 5428). وفي رواية مسلم: (كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ). Maksudnya: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no 6238), Muslim (4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam Baihaqi dalam Shu’ab Iman (4/365, no 5428). Dan dalam riwayat Imam Muslim: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya) Hadith pertama menggunakan istilah zina nafsu, manakala hadith yang kedua pula menggunakan istilah zina hati. Hadith inilah yang menjadi hujah tentang wujudnya zina yang dinamakan dengan zina hati dan tidak syak lagi hadithnya adalah hadith yang sahih. Tidak dipertikaikan kewujudan istilah zina hati dan asasnya dalam Islam, tetapi apa yang dipertikaikan adalah kegagalan ramai daripada kalangan mereka yang bercakap tentangnya untuk mengupasnya secara ilmiyyah sehingga adakalanya membuatkan remaja dan pemuda salah faham yang seterusnya menyebabkan berlakunya pemikiran yang tempang dalam beragama. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zina hati? Adakah jatuh cinta kepada seseorang itu dianggap zina hati? Adakah teringatkan seseorang itu zina hati? Mungkin sebahagian daripada kita akan menjawab: “Ya, itulah zina hati”. Apabila ditanya lagi mengapa itu zina hati? Jawab mereka: “Kerana kita mengingati seseorang yang ajnabi (bukan mahram) yang tidak halal buat kita”!!! Kalau anda meletakkan sebab pengharamannya adalah kerana dia ajnabi jadi tidak halal bagi kita, bagaimana anda mahu menafsirkan firman Allah dalam Al-Qur’an tentang Sahabat Nabi yang teringatkan perempuan ajnabiyyah yang tidak halal buatnya? Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235: عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya, menceritakan tentang عدة / iddah (tempoh suci) perempuan yang bercerai dengan suaminya. Kemudian ada lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang untuk melamar perempuan ini. Lalu Allah berfirman ((Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan berkata-kata perkara yang baik. Syed Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan Allah telah mengharuskannya kerana itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 238). Bukankah perempuan yang baru berpisah dengan suaminya merupakan perempuan ajnabiyyah kepada lelaki lain yang mahu melamarnya??? Tapi mengapa Allah langsung tidak mengatakan kepada lelaki ajnabi itu tak boleh mengingati perempuan tetapi hanya berpada dengan berkata (Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut tetapi jangan kamu berjumpa dengan dia secara rahsia). Justeru apa yang dapat difahamai daripada ayat tersebut adalah: Tiada masalah dalam mengingati perempuan tersebut, tapi jangan fikir nak buat yang bukan-bukan yang bertentangan dengan syarak’. Itulah apa yang sepatutnya difahami daripada firman Allah tersebut. Kalau mengingati perempuan yang ajnabiyyah itu zina hati, tentunya Allah melarang para sahabat daripada mengingati perempuan, tetapi Allah sendiri tidak melarang bahkan memberi izin. Justeru, yang dimaksudkan dengan zina hati itu adalah hati yang menaruh niat untuk berzina, menikmati hubungan persetubuhan luar nikah. Itu yang dimaksudkan dengan zina hati. Rujuk kembali konteks hadith berkaitan zina hati secara keseluruhan. Tidakkah di pengakhiran hadith tersebut Nabi ada menyebut: وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ Maksudnya: (dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Bermakna semua perkara daripada tangan, kaki, telinga, mata, lidah, hati yang menuju ke arah persetubuhan haram barulah dipanggil dengan zina. Sebab itu disebut di pengakhiran hadith (Kemaluan itu yang akan menentukan berlaku atau tidak berlakunya zina). Sebab itu Ibnu Mas’ud menambah dengan katanya: "فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060 Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060). Jadi, zina kecil yang disebutkan itu adalah yang mengarah pada hubungan kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat bukan mahram bukanlah serta-merta boleh digolongkan sebagai zina mata. Yang tergolong “zina mata” adalah pandangan yang menggoda dan penuh syahwat. Dengan itu juga, menyampaikan kata-kata mesra kepada bukan mahram bukanlah semestinya tergolong sebagai “zina lisan”. Yang tergolong sebagai “zina lisan” adalah kata-kata pujuk rayu dan godaan kepada nafsu berahi. Begitu juga halnya dalam masalah mengingati atau merindukan si dia atau pun merasakan getaran di hati ketika memikirkan si dia, bukanlah serta merta boleh tergolong sebagai “zina hati”. Pengertian “zina hati” adalah mengharap dan menginginkan kepada persetubuhan luar nikah sebagai memenuhi syahwat. EKSTREMIS DI DALAM ISU ZINA HATI “Melihat perempuan itu haram” “Mendengar suara perempuan itu haram” “Mengingati bayangan perempuan itu haram” “Semua itu adalah zina” Biasa mendengar klausa-klausa kata sebegitu?...hehehe. Banyak kali dengar kan? Mungkin agaknya mereka mahu menjadikan perempuan itu sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini, dan bagi perempuan pula mereka mahu menjadikan makhluk lelaki sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini. Sampai begitu sekalikah pandangan anda tentang pengharaman segala yang datang daripada perempuan atau segala yang datang daripada lelaki? Sedangkan khinzir pun tidak sampai ke tahap itu diharamkan dalam Al-Qur’an. Yang hanya diharamkan adalah makan dagingnya sahaja. Apakah sebenarnya pengharaman dalam masalah perhubungan antara lelaki dan perempuan? Adakah perempuan itu haram semata-mata kerana dirinya حرام لذاته / haram lizatihi, atau haram kerana perkara luaran lain حرام لغيره / haram lighairihi? Melihat perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata pandangan kepada perempuan itu haram atau pandangan itu haram disebabkan unsur luaran lain? Tentunya pandangan yang diharamkan adalah pandangan yang disertai dengan syahwat, pandangan yang menggoda dan bernafsu. Itulah sebab kepada pengharaman pandangan bukan semata-mata kerana pandangan biasa. Suara perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata suara kepada perempuan itu haram atau suara itu haram disebabkan unsur luaran lain? Tentunya suara yang diharamkan adalah suara yang dilunakkan untuk menarik perhatian, suara manja mendodoi, suara-suara gedik. Suara sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata suara biasa. Mengingati perempuan itu? Adakah semata-mata ingat kepada perempuan itu haram atau ingatan itu haram disebabkan unsur luaran lain? Tentunya ingatan yang diharamkan adalah ingatan yang membayangkan keseksian susuk tubuh perempuan, membayangkan untuk bersetubuh dengan perempuan dan bayangan yang membangkitkan berahi. Ingatan dan bayangan sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata ingatan biasa. Itulah hal-hal yang dipanggil zina kecil. Pengakhiran yang menentukannya adalah kemaluannya sama ada menjebakkannya ke kancah perzinaan hakiki atau tidak. SEJAUH MANA DOSA ZINA TANGAN, KAKI, TELINGA, MATA, LIDAH, HATI? Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa: "فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060 Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060). Kata Ibnu Abbas pula: "مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَهُ لَا مَحَالَةَ وَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ)". رواه البخاري (8/67، رقم 5774) ومسلم (8/52، رقم 4801). “Aku tidak melihat sesuatu yang lebih menyerupai Al-Lamam itu kecuali daripada kata-kata Abu Hurairah daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya)”. Riwayat Imam Bukhari (8/67, no 5774), dan Imam Muslim (8/52, no 4801). Apa yang dimaksudkan dengan Al-Lamam??? Al-Lamam bermaksud dosa kecil yang tidak akan selamat daripadanya kecuali mereka yang dilindungi dan dijaga oleh Allah. Ibnu Mas’ud, Abu Said, Huzaifah, dan Masruq berpendapat bahawa: Al-Lamam itu ialah selain daripada bersetubuh, sama ada ciuman, sentuhan, pandangan, dan baringan. (Rujuk Tafsir Al-Qurthubi, jilid 17, m/s 106, cetakan Dar Alamil kutub). Perkataan Al-Lamam ini disebut dalam firman Allah dalam Al-Qur’an, Surah An-Najm , ayat ke-32 : وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى (31) الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ ...... Maksudnya: Dan bagi Allah segala yang di langit dan di bumi, supaya dia membalas mereka yang berbuat buruk dengan apa yang mereka kerjakan, dan membalas mereka yang baik dengan kebaikan. Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji kecuali Al-lamam, Sesungguhnya Tuhan kamu Maha Luas keampunannya… Contoh daripada hadith ini mungkin boleh membantu soal pengampunan dosa Al-Lamam: نَّ رُجلا أصَابَ من امرأَةٍ قُبْلَة، فأتَى النبيَّ صلى الله عليه وسلم، فذكر ذلك له، فَنزلت ((وأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفا مِنَ اللَّيْلِ، إنَّ الْحَسَناتِ يُذْهِبْنَ السَيِّئاتِ ذلكَ ذِكْرى لِلذَّاكِرين)) [ هود : 116]. فقال الرجل : يا رسول اللّه، أَلِيَ هذه ؟ قال: «لمنْ عمل بها من أُمَّتي». أخرجه البخاري (1/140)، ومسلم (8/101). Maksudnya: Seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, lalu dia datang bertemu Nabi dan menceritakan perkara itu kepada Nabi”. Lalu turunlah ayat ((Dan dirikanlah solat pada sebahagian hari dan hujung malam, sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan, itu adalah ingatan kepada mereka yang mengingati)) [Surah Hud, ayat ke-116]. Lalu lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, adakah bagiku (sahaja) hal ini? Sabda Nabi: (Bahkan bagi orang melakukannya daripada umatku). Riwayat Imam Bukhari (1/140) dan Imam Muslim (8/101). Lelaki tersebut telah melakukan zina kecil, iaitu mencium seorang perempuan bukan mahram. Bagaimana untuknya menghapuskan dosa zina kecil tersebut? Jawabnya adalah dengan berbuat kebaikan, insyaAllah kebaikan yang dibuat itu akan menghapuskan dosa yang dilakukan. APA HUKUM BERCINTA/COUPLE? Pertamanya, apa maksud bercinta itu? Adakah maksudnya memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan? Atau maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain?? Saya rasa semua bersetuju bahawa kalau maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain maka saya kira semua daripada kita akan bersetuju tentang keharamannya. Tetapi kalau maksudnya, memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan, apakah juga termasuk dalam perkara yang haram? Apakah yang salahnya di situ? Mungkin ada yang akan menjawab, tak boleh, kerana bercinta sebelum kahwin itu akan mengundang dosa dengan melakukan perkara-perkara tak baik. Baik kalau begitu, bercinta itu tidak haram pada asalnya tetapi bertukar menjadi haram kerana tidak mematuhi batas-batas yang dibenarkan. Pendek kata, pengharaman itu berlaku bukan pada perasaan tersebut tetapi pada perkara luar. Atau dengan bahasa usul Fiqhnya cinta itu bukannya حرام لذاته / haram lizatihi, tetapi bertukar menjadi حرام لغيره / haram lighairihi kerana perkara lain. Bermakna selagi mana batas-batas pergaulannya terjaga maka cinta itu tiada sebab dan alasan untuk diharamkan. Justeru, tidak sepatutnya wujud antara kita yang semudah-mudahnya mahu menghukum mereka yang menyimpan perasaan cinta antara satu sama lain itu sebagai haram kerana perasaan cinta itu adalah fitrah manusia yang suci. Hanya apabila batas-batas pergaulan dilanggar barulah hukumnya bertukar menjadi haram. Makan daging lembu itu adalah halal, tetapi makan daging lembu yang dicuri adalah haram, bukan kerana daging itu, tetapi kerana masalah curi. Bagi menghalalkan kembali daging tersebut, bayar sahaja wang harga daging kepada tuan punyanya. Begitu juga dengan cinta. Menyimpan dan berkongsi perasaan cinta dengan bukan mahram itu adalah satu perkara fitrah dan diharuskan dalam agama, tetapi apabila perasaan itu disertai dengan kehendak untuk persetubuhan haram (zina), maka diharamkan, bukan kerana perasaan tersebut tetapi kerana niat untuk persetubuhan haram tersebut. Justeru, bagi menghalalkan kembali hubungan cinta yang terjalin, perkara-perkara haram yang timbul perlu dibuang. Memiliki dan berkongsi perasaan cinta ini yang halal ini diperakui oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال: "يا رسول الله في حجري يتيمة قد خطبها رجل موسر ورجل معدم، فنحن نحب الموسر وهي تحب المعدم، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لم نر للمتحابين غير النكاح)". أخرجه ابن ماجه (1/593، رقم 1847)، والطبرانى (11/17، رقم 10895)، والحاكم (2/174، رقم 2677) وقال: صحيح على شرط مسلم، والبيهقى (7/78، رقم 13231). Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak yatim perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kalau dia memilih yang kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: (Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali kahwin)”. Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1/593, no 1874), At-Tabarani (11/17, no 10895), Al-Hakim (2/174, no 2677) dan berkata bahawa “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Muslim”, dan Imam Baihaqi (7/78, no 13231). Nabi langsung tidak mencela perasaan cinta yang dimiliki anak yatim perempuan tersebut sebelum berkahwin. Nabi hanya berkata bahawa perkara yang sesuai kepada orang yang saling menyintai itu adalah kahwin. Hadith seterusnya berkenaan cinta Mughith kepada Barirah: عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ: يَا عَبَّاسُ، أَلَا تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا). فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَوْ رَاجَعْتِهِ). قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: (إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ) قَالَتْ: لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ. أخرجه البخارى (5/2023، رقم 4979)، وأبوداود (2/270، رقم 2231)، والنسائى (8/245، رقم 5417)، وابن ماجه (1/671، رقم 2075)، وأخرجه أيضًا ابن حبان (10/96، رقم 4273). Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas (dia berkata): “(Bekas) Suami Barirah adalah seorang hamba dipanggil Mughith. Seolah-olah aku melihatnya sekarang mengekori belakang Barirah dengan bercucuran air mata atas janggutnya. Nabi lalu berkata kepada Abbas: (Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?. Kata Nabi kepada Barirah: (Kalaulah kamu dapat kembali kepadanya). Barirah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kamu memerintahkan aku? Nabi berkata: (Aku hanya menjadi juru runding). Barirah berkata: “Aku tak punya hajat pada Mughith”. Hadith riwayat Imam Bukhari (5/2023, no 4979), Abu Daud (2/270, no 2231), Imam An-Nasa’I (8/245, no 5417), Ibnu Majah (1/671, no 2075), juga Ibnu Hibban (10/96, no 4273). Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah: 1) Nabi tidak pernah melarang Mughith daripada terus mencintai Barirah walaupun Barirah telah menjadi ajnabiyyah buatnya. 2) Nabi bahkan mengambil inisiatif bagi melihat cinta itu berjaya dengan memujuk Barirah supaya kembali kepada Mughith, tetapi apakan daya Barirah tetap menolak. 3)Nabi tidak memberikan sebarang komen terhadap Mughith yang setia mengekori Barirah untuk memujuknya. Bahkan Nabi bersabda kepada Abbas: (Tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?) Lihat bagaimana ajaran Islam yang bersifat sesuai dengan realiti kehidupan berdepan dengan masalah manusia. Sayangnya ajaran Islam yang bersifat realistik dan meraikan fitrah manusia ini, dicemarkan oleh sebahagian daripada kita yang terlampau bersemangat dalam membasmi masalah gejala sosial, sehingga dalam sedar atau tidak sedar mereka turut membasmi fitrah manusia dan menjadikan ajaran Islam seolah-olah hanya merupakan fantasi kehidupan yang tidak pernah wujud. Islam datang bukan untuk berkata: “Jangan menyintai dan buang perasaan cinta itu”, tetapi datang dengan mengajarkan kita bahawa andainya kamu jatuh cinta, maka barhati-hatilah agar cinta itu tidak membuatkan kamu terpesong daripada kebenaran. Islam juga datang bukan untuk mengatakan kepada kita: “Jangan kamu membenci sesama kamu”, tetapi datang untuk mengajarkan andainya kamu membenci seseorang maka biarlah berpada-pada jangan sampai membutakan kamu daripada kebenaran. Jatuh cinta adalah perkara yang tidak mampu dikawal, hal itu terletak pada kuasa Allah dan Allah tidak akan menzalimi hambaNya dengan membebankan mereka dengan perkara-perkara yang tidak mereka mampu melakukannya. Masalah yang diperbahaskan dalam ilmu usul fiqh sebagai التكليف بما لا يطاق / Attaklif bima la yutaq. Sedangkan Nabi sendiri pun meminta pengecualian daripada Allah dalam urusan berlaku adil antara isterinya dalam perkara yang melibatkan hati dan perasaan. عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ، وَيَقُولُ: (اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ). قال الترمذي: إِنَّمَا يَعْنِي بِهِ الْحُبَّ وَالْمَوَدَّةَ كَذَا فَسَّرَهُ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ. أخرجه الترمذي (1140)، وأبو داود (2134)، والنسائي (7/63). Maksudnya: “Daripada Aisyah bahawa Nabi membahagikan antara isteri-isterinya dengan adil dan dia berkata: (Ya Allah, ini adalah pembahagian aku daripada apa yang aku miliki, janganlah Engkau mencela aku pada perkara yang Engkau miliki tapi tidak aku miliki). Berkata Imam Tirmizi: Sesungguhnya yang dimaksudkan itu adalah perasaan cinta dan sayang sebagaimana tafsiran ahli ilmu. Hadith dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1140), Imam Abu Daud (2134), dan Imam Nasa’I (7/63). Jelas melalui hadith tersebut bahawa perasaan cinta dan sayang tidak mampu dikawal oleh manusia. Mustahil bagi seorang lelaki yang beristeri empat contohnya mahu berlaku adil terhadap isteri-isterinya dalam soal hati dan perasaan. Sebab itu Nabi sendiri memohon kepada Allah supaya tidak mencelanya pada perkara yang tidak dimiliki olehnya dan tidak termampu baginya untuk melakukan. Hal sebegini disedari dengan baik oleh para sahabat. Dalam suatu kisah yang melibatkan Sayyidina Umar sendiri diceritakan bahawa telah datang kepadanya seorang lelaki dan berkata: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku telah melihat seorang perempuan lalu aku jatuh cinta kepadanya”. Lalu Sayyidina Umar Bin Khattab berkata: “Itu adalah perkara yang tidak mampu dikawal”. Rujuk Al-Jawab Al-Kafi oleh Ibnul Qayyim, m/s 164, cetakan Darul Kutubil Ilmiyyah. Hal ini berlaku kerana sememangnya manusia itu akan mudah jatuh cinta kepada sesiapa yang berkongsi keserasian dengannya, bak sabda Nabi dalam sebuah hadith: الأرواح جنود مجندة فما تعارف منها ائتلف وما تناكر منها اختلف. أخرجه البخارى (3/1213، رقم 3158). Maksudnya: (Roh-roh itu adalah ibarat tentera yang saling berpasangan, mana-mana roh yang secocok maka roh-roh itu akan bersatu, mana-mana roh yang tak secocok maka roh-roh itu akan berselisih). Dikeluarkan oleh Imam Bukhari (3/1213, no 3158). CONTOH-CONTOH KEKELIRUAN 1) "Astaghfirullahalazim! Apa yang telah aku lakukan? Bukankah berhubung dengan berlainan mahram sehingga membibitkan perasaan cinta itu HARAM berdosa" Jawapan saya: Alangkah jahilnya. Bagaimana mungkin perasaan cinta yang timbul dalam hati itu dianggap haram dan berdosa??? 2) Zinanya hati ini berlaku apabila hati kita menginginkan sesuatu yang haram bagi kita secara berlebih-lebihan. Sebagai contoh, keinginan itu seperti ingin dirindui, dicintai, dibelai, mengingati si dia lebih daripada kita mengingati Tuhan. Jawapan saya: Anda masih gagal memahami maksud zina hati dengan baik. Yang pertama katanya zina hati adalah: Menginginkan perkara haram secara berlebihan. Kalau begitu, menginginkan perkara haram secara tak berlebihan tu kira oklah ya??? Yang kedua, contoh yang diberikan itu satu pun tidak termasuk dalam zina hati, hal-hal itu bukan termasuk dalam bab zina hati, tetapi termasuk dalam bab lagho dan melakukan perkara yang harus dengan berlebihan. 3) Seorang lelaki teringatkan perempuan, itu zina hati kan? Saya pun kurang jelas dgn konsep zina hati ni. Jadi maknanye kalau teringat saja kat bukan mahram kite tu dah kira zina ya? Satu lagi, lelaki tersebut sahaja yg berdosa atau pun keduanya? Jawapan saya: Lelaki ingatkan perempuan itu zina hati? Perempuan ingatkan lelaki zina hati? Heheh… luasnya skop. Kalau macam tu, lelaki lepas ni janganlah ingat kepada ustazah kat sekolah, perempuan pula jangan ingatkan ustaz kat sekolah. Itu semua zina hati tu, berdosa tau tak…hehe. Come on lah, sudahlah maksud zina hati itu pun tak faham, mudah-mudah sahaja memberi pandangan. Adapun soal siapa yang berdosa dalam hal ini, jawabnya tiada sesiapa yang berdosa baik lelaki mahupun perempuan kerana itu bukan zina hati. 4) Saya ada kemusykilan di sini. Seandainya pasangan ini sudah berniat untuk berkahwin, adakah rindu antara mreka juga dikatakan zina hati? Maka menjawablah seorang ustazah: “Yap!! selagi belum berkahwin”. Jawapan saya: Soalannya bagus. Tetapi jawapan yang diberikan oleh ustazah itu cukup mengecewakan. Ustazah, tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik sebelum memberikan jawapan. Boleh ustazah? 5) Dalam tak sedar, kita boleh melakukan zina. Benda yang kita tak nampak, tapi dosa besar. Dalam diam, kita dah lakukan zina. Bukan dari luaran, tapi dalaman. Astghfirullahala'zim. Kita sekarang terlalu terdedah dengan benda-benda yang lagho. Lupa mengingati Allah. Jawapan saya: Dosa besar??? Sejak bila pula zina tangan, kaki, mata, mulut, hati itu tergolong dalam dosa besar??? Telah saya jelaskan bahawa itu semua termasuk dalam kategori dosa kecil yang disebut sebagai Al-Lamam. Dosa sebegini terampun hanya dengan melakukan perkara kebaikan biasa seperti berwudhuk, solat, zikir dan sebagainya lagi tanpa memerlukan taubat khusus. Soal lagho dan lupa mengingati Allah itu soal lain. Kalau nak bercerita tentang lupa mengingati Allah ni, semua manusia tidak terlepas termasuklah para sahabat Nabi terdahulu kerana kita adalah manusia bukan malaikat. Cubalah menjadi manusia yang baik, jangan cuba menjadi malaikat. Seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah mengadu kepada Nabi dengan berkata: “Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah telah menjadi munafiq”. Nabi berkata: (Apa maksudmu?). Kata Hanzalah: “Apabila kami berada bersama Kamu, kami ingat kepada Akhirat, tetapi apabila kami pulang bersama keluarga, anak-anak, dan harta kami, kami banyak lupa”. Sabda Nabi: (Demi Allah yang diriku dalam kekuasaanNya, kalau kamu terus kekal seperti hal kamu ketika bersamaku, nescaya malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di bilik kamu dan jalan-jalan. Tetapi Hanzalah, ada masa masanya). Riwayat Imam Muslim (8/95, no 4937) 6) Jika kita rindu seseorang ajnabi kerana kita memang couple dengan dia, tak kiralah berjumpa atau tidak, itu dikira zina hati. Kalau tak couple, tapi mungkin minat, dan lama-lama jadi rindu jika tak berjumpa, pada mulanya fitrah, tetapi apabila tak dikawal, dielak, tak mujahadah, itu boleh menjadi zina hati. Jawapan saya: Pulak dah, ada beza pulak antara yang bercouple dengan tak bercouple. Jawapan yang langsung tiada asas ilmu, sekadar mengagak-agak saja. 7) Saya selalu digosip kawan-kawan dengan seseorang, bila nama orang tu disebut-sebut, saya akan teringat kepada dia dan ini menyebabkan saya terpalit dengan dosa zina hati kerana mengingati seseorang yang bukan mahram dengan saya. Astaghfirullah, moga-moga Allah mengampuni dosa saya. Jawapan saya: Oh ya ke, kalau begitu lepas ni janganlah ingat langsung kepada sesiapa yang bukan mahram anda. Sepupu anda, cikgu anda, cikgu tuisyen anda, pak guard sekolah anda,perdana menteri Negara anda, kerana itu semua bukan mahram anda tu. Zina hati tu… Hai, mudah-mudah saja membuat hukum sendiri ya. 8) Nak tanya sekejap. Zina hati tu dikira apabila kita teringat seseorang yg berlainan jantina untuk seketika atau teringat selalu hingga termenung? Lalu menjawablah seorang rakannya: “Teringat seketika atau selalu tetap salah. Sebab kita ni kena selalu ingat kepada ALLAH”. Jawapan saya: Hohohoho…I’m speechless. Tak sangka, ada juga jawapan sebegini. Teringat seketika pun tak boleh ya, kena selalu ingat Allah sepanjang masa 100 peratus ya. Kalau macam tu sahabat Nabi pun kalah dengan awak. Hebat betul awak ya, sama taraf dengan malaikat. Sesungguhnya dalam Al-Qur’an pun Allah tak suruh kita ingat kepadaNya sentiasa kerana itu adalah perkara yang mustahil dan ulama menyebut bahawa Allah tidak sekali-kali membebankan manusia dengan perkara yang mustahil untuk dilakukan. Sebab itu, Allah hanya menyuruh kita supaya banyak ingat kepadaNya, bukan selalu ingat kepadaNya. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat ke-41: ((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً)) Maksudnya: ((Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah dengan ingatan yang banyak)). 9) Sekarang ni saya tengah buntu. Saya sekarang bercinta dengan seseorang. Tapi kami mahukan perhubungan kami diredhai Allah. Tetapi baru-baru ni saya ada baca nota yang mengatakan bercinta adalah haram dalam Islam. Betul ke? bercinta juga mendekatkan diri kepada zina iaitu zina hati. merindui dan mengingati antara satu sama lain. Jadi, apakah yg perlu saya buat? Maka berfatwalah seorang rakannya: “Bercinta tu memang haram. Bila dah bercinta kita selalu rindu, kadang-kadang ingat kat dia dan macam-macam lagi. Itulah yang dinamakan zina hati. Sebab itu, bercintalah selepas kawin. Jawapan saya: Sama juga masalah dengan mereka yang sebelum-sebelum ni. Keliru dengan maksud bercinta, lepas tu tak memahami erti zina hati yang sebenarnya.. Adapun soal bercinta sebelum atau selepas kahwin, kalau dimaksudkan dengan perasaan cinta, maka bagi saya perasaan cinta itu perlu ada sebelum kahwin bukan selepas kahwin, manakala aktiviti percintaan itulah yang dilakukan selepas kahwin. Sebab itu Nabi menyuruh sahabatnya kalau nak melamar perempuan tu tengok dulu, supaya timbul perasaan cinta dalam hati. Kalau setelah melihat tapi tidak timbul rasa cinta dan berkenan tu, maka cari yang lain. 9) Bagi saya memang zina hati susah utk dihindari terutama zaman sekarang. Lebih-lebih lagi zaman teknologi sekarang. Walaupun dengan bermesej, boleh diragukan kita buat zina tangan. Itu zina tangan, kalau dah zina luaran, macam mana pula dalaman? Jawapan saya: Astaghfirullah, pandangan yang penuh dengan ta’annut dan tasyaddud. Anda gagal dalam memahami maksud zina hati dan zina kecil yang lain. Bermesej di telefon itu zina tangan?? Kalau anda bermesej mengajak kepada persetubuhan, semestinya itu zina tangan, tapi kalau sekadar bertegur sapa,bertanya khabar adakah itupun nak dilabelkan sebagai zina..Anda sudah tersasar jauh dari maksud zina hati sebenarnya. Memang berhubung antara lelaki dan perempuan hanya perlu apabila ada keperluan. Tapi kalau tiada keperluan dan sekadar menggatal, tidak boleh sewenang-wenangnya dengan mudah mengkategorikan hal itu dalam bab zina tangan tetapi dikategorikan dalam bab buat perkara lagho tak berfaedah. Sudahlah anda gagal memahami maksud zina-zina kecil tu, gagal pula membezakan antara mereka yang melakukan zina kecil dengan mereka yang melakukan perkara-perkara lagho tak berfaedah. 10) Zina hati sebenarnya apabila kita mengingati seseorang secara berlebih-lebihan. Jawapan saya: Fahaman anda juga tersasar. 11) Macam mana kalau teringatkan lelaki yang kita hanya pernah berjumpa dengannya dalam mimpi, tapi kita tak kenal pun kat alam nyata ni, kira zina hati juga ke? Jawapan saya: Lihatlah bagaimana anda gagal memahami maksud zina hati menyebabkan timbulnya soalan-soalan yang tak sepatutnya timbul. 12) Saya pun ada juga zina hati ni kerana teringatkan kawan lelaki. Nak buat macam mana nobody's perfect except our prophet. Tapi macam yang dah dinasihatkan oleh rakan supaya bila teringatkan seseorang (si dia) kita hendaklah membaca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah. Jawapan saya: Anda juga gagal dalam memahami maksud zina hati dan mengenal pasti penyakit sebenar, kemudian cuba mereka-reka ubat sendiri. Baca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah??? Hehe…lucu juga dengan petua yang diberikan. 13) Memang susah nak hindari zina hati. Susah sangat. Apabila teringatkan si dia, susah nak lupakan. Tapi nak tanya ni, apa dosanya kalau kita buat orang lain zina hati? Contohnya: Kita buat orang lain berkenan kat kita. Jawapan saya: Masih juga tak faham-faham dengan maksud zina hati. 14) Zina hati yang paling ketara dalam jiwa remaja zaman sekarang adalah kamu merindui si dia, kamu sentiasa terbayang si dia, kamu tak dating, tak jumpa dgn si dia, tak keluar makan-makan, tapi kamu masih terbayang pada si dia. Bukti yang paling ketara, inbox kamu penuh dgn mesej si dia. Bayangkan sahaja, seorang remaja yg cukup komited dgn dakwah tetapi mereka bercinta. Bayangkan presiden BADAR kat sekolah bercinta. Ya Allah! tak dating, tak keluar makan-makan, tak berutus surat, tapi saling berbalas mesej dengan beralasankan "Eh takpe, aku hantar mesej pasal hadis la kat dia. Saling nasihat menasihati". Astaghfirullah, itulah contoh-contoh zina hati. Nama pun hati, mesti la dalam hati. Betul tak? Jawapan saya: Tak betul langsung. Saudara, itu tidak termasuk dalam bab zina hati. Itu gedik dan mengada-ngada jawabnya dan termasuk dalam bab buat perkara-perkara tak berfaedah ataupun disebut lagha. Saya lebih suka mengistilahkan percintaan sebegitu sebagai percintaan yang “poyo”. Percintaan pra-matang remaja baru nak up. Sabda Nabi: (Antara keelokan Islam seseorang itu, dia meninggalkan apa yang tak patut baginya). Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (4/558, no 2317) dan dia berkata: Gharib. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/1315, no 3976) dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya (1/466, no 229). 14) Sebenarnya, saya ada satu soalan. Begini, seorang lelaki amat menyayangi seorang perempuan bukan mahram ini, tetapi dia tidak merinduinya. Adakah ini tergolong dalam zina hati juga? Sebab saya masih tak berapa jelas dengan maksud zina hati. Jawapan saya: Apabila gagal untuk memahami zina hati dengan baik, kemudian dimomokkan pula dengan fahaman-fahaman yang salah tentang zina hati, maka diri sendiri mencari jalan keluar dengan mereka-reka perkara yang tak masuk akal. Seorang kekasih menyintai kekasihnya, tetapi mereka tidak rindu, adakah ini juga termasuk dalam zina hati? Ahaha… Tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik, perasaan cinta antara kekasih dengan kekasihnya tidak dikira zina hati, juga perasaan rindu. Kalaupun perasaan cinta dan rindu itu melampaui batas, itu tidak termasuk dalam bab zina hati, itu termasuk dalam bab berlebih-lebih dalam perkara-perkara yang harus. Yang menjadi zina hati adalah perasaan atau keinginan hati untuk melakukan dosa zina iaitu bersetubuh dengan kekasih tersebut. Faham!!! 15) Saya takut diri saya terjebak dengan “zina hati” apabila saya teringat pasal si dia. Biasanya, saya akan membayangkan saat-saat kami berjumpa, kata-kata dia dan kadang-kadang saya macam berangan-angan berumah tangga dengan dia. Selalu terbayang dalam fikiran saya, kehidupan kami sebagai suami isteri contohnya, saya masak untuk dia, bermesra dengan anak-anak dan sebagainya. Itu memang selalu saya fikirkan. Adakah itu salah satu dari “zina hati”? Saya juga tak boleh kawal perasaan rindu setelah kami berjauhan. Perasaan tu la yang buat saya lalai sedikit sebanyak. Saya cuba tenangkan fikiran saya dengan solat sunat, baca Al-Quran tapi tu tak kekal lama. Jawapan saya: Amboi-amboi, jauhnya akak berkhayal. Itu bukan zina hati tu kak, itu angau namanya. A N G A U: Angau. Parah benar nampaknya tu. Walaupun bukan termasuk dalam zina hati, tetapi eloklah dielakkan perkara-perkara lagho sebegitu, sibukkan diri dengan perkara-perkara berfaedah, jangan sampai terbuang masa kerana berkhayal. 16) Saya telah mengambil keputusan meninggalkan pasangan saya kerana saya tahu ianya sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Dan alhamdulillah saya juga telah mengambil langkah dengan bernikah dengan seorang gadis melalui cara yang lebih baik iaitu melalui pernikahan secara Islamik. Jawapan saya: Astaghfirullah, bercinta dengan seorang gadis, kemudian merasakan perkara itu sebagai salah lalu memutuskan hubungan. Kemudian mengambil langkah penyelesaian dengan berkahwin dengan gadis lain? Kasihan dengan pasangan anda yang pertama tadi.. Mengapalah “terlampau cerdik” sampai ke tahap ini??? Kalaupun anda merasakan hubungan anda itu salah dan berdosa, apa yang anda perlu lakukan adalah bertaubat daripada dosa dan membaiki dosa tersebut. Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat ke-39. ((فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ)) Maksudnya: ((Sesiapa yang bertaubat selepas kezaliman yang dilakukan dan membaiki kesilapannya maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa ke atasnya)). Seorang pencuri, apabila sedar dan insaf atas dosa yang dibuat, maka dia perlu bertaubat daripada dosa mencuri tersebut, dan membaiki dosa tersebut dengan memulangkan kembali segala barang-barang yang dicuri. Seorang lelaki yang bercinta dengan seorang perempuan sehingga terjebak ke dalam perkara-perkara dosa, apabila sedar dan insaf perlulah bertaubat daripada dosa yang dilakukan, dan membaiki dosa tersebut. Bagaimana untuk membaiki dosa tersebut? Iaitulah dengan mengahwini perempuan itu. Bukannya dengan memutuskan hubungan dan kemudian berkahwin dengan perempuan lain. Mengapa mahu berkahwin dengan perempuan lain sedangkan si dia ada dan masih menyimpan cintanya terhadap kamu? Adakah pada pandangan anda perempuan itu tidak layak diperisterikan kerana sudah ternoda? Ooo, kiranya kamu bersihlah tiada noda? Siapa yang menodainya? Kamu juga. Kononnya nak mencari yang suci bersih walhal diri sendiri terpalit dengan kekotoran. Jenis manusia yang tak sedar diri. 17) Ana dulu pun couple gak. Sejak sekolah sampai dah masuk universiti, dekat nak gred. Tapi apabila ana sedar apa yang ana buat ni salah, ana terus tinggalkan walhal ana siap dah fikir, dialah bakal isteri ana, yang akan jadi ibu kepada anak-anak ana. Komen saya: Kan’tidak cerdikan namanya tu’. Perkara yang sama berulang. Anda dah punya niat suci untuk memperisterikannya, kemudian memutuskan hubungan itu setelah merasakan hubungan itu salah pada pandangan anda. Sepatutnya, baikilah apa yang anda rasakan salah itu dan teruskan niat suci anda untuk memperisterikannya. Semudah itu pun masih tak faham? Mengapa masih juga mengambil tindakan yang tak cerdik? MANHAJ DALAM MEMAHAMI AGAMA Tidak dinafikan, adakalanya mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang dakwah atau mereka yang baru menemui jalan keinsafan, mereka mempunyai semangat yang meluap-luap berjuang untuk Islam. Tapi masalahanya semangat yang meluap-luap tanpa latar belakang ilmu yang kuat boleh menyebabkan perjuangan yang dibawa itu merosakkan lebih daripada membaiki. Semua tak boleh, itu zina, ini zina, itu haram, ini haram sehingga menyempitkan ajaran Islam yang luas dan membesar-besarkan perkara lebih daripada skop asalnya. Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya adalah manhaj berasaskan وسطية /wasatiyyah (pertengahan). Tidak dinafikan, kalau orang itu dilihat mempermudah-mudahkan urusan agama maka kita perlu memberikan peringatan keras kepada mereka. Sebaliknya pula kalau orang itu dilihat terlalu memayah-mayahkan agama maka kita perlu memudahkannya bagi mereka. Namun, semua itu perlu dilakukan atas dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, apabila wujud sebahagian daripada sahabat Nabi mempermudah-mudahkan urusan berwudhuk sehingga tidak meratakan air ke tempat-tempat yang sepatutnya, maka Nabi memberikan amaran keras kepada mereka berupa seksaan api neraka. Sebaliknya apabila ada pula sebahagian sahabat yang memayah-mayahkan urusan berwudhuk sehingga membasuh anggota wudhuk secara berlebihan, maka Nabi berkata bahawa basuhan wudhuk itu hanya tiga kali. Andainya masih wujud keraguan dalam hati tidak rata, maka usah dilayan, itu hanya was-was syaitan. Caranya adalah bersikap keras kepada mereka yang nampak mempermudah-mudahkan agama, dan bermudah-mudah bagi mereka yang nampak memayah-mayahkan agama. Tetapi perlu diletakkan dalam kepala bahawa tujuan akhirnya adalah supaya kedua-dua golongan tersebut kembali kepada kesederhanaan dalam beragama. Kata Imam Syatibi: Andai kamu melihat kepada keseluruhan syariat maka engkau akan dapati syariat itu cenderung kepada pertengahan. Andai kamu melihat ada kecenderungan kepada sisi terlampau memudahkan atau sisi terlampau menyusahkan maka itu bagi berhadapan dengan lawannya daripada sisi lain. Sisi memayahkan (kebanyakannya pada menakutkan, menggerunkan, melarang) didatangkan bagi berdepan dengan mereka yang cenderung mempermudahkan agama. Sisi memudahkan (kebanyakannya pada pengharapan, galakan, dan rukhsah kemudahan) didatangkan bagi mereka yang cenderung memayahkan agama. Kalau tiada masalah pada kedua-duanya maka aku melihat pertengahan itu lebih utama, dan jalan kesederhanaan itu jelas, dan itulah kaedah asal yang menjadi rujukan dan pusat yang menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar Ibni Affan) Janganlah terlampau mempermudahkan dan jangan terlampau menyusahkan. Ambil jalan pertengahan. Untuk pesakit darah tinggi, berikan ubat yang menurunkan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan normal. Pesakit darah rendah pula, berikan ubat yang meninggikan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan tahap normal. Apa yang penting adalah memastikan kenormalan tekanan darahnya. Akhir kata, semoga segala penjelasan itu dapat dicerna dengan baik. Andai timbul sebarang persoalan tak faham lagi berkenaan zina hati, maka bak kata rakan saya: “Sila hantukkan kepala anda ke dinding”….hehe sekadar bergurau. Jangan lagi membesarkan isu lebih daripada skop yang sepatutnya. Sememangnya muhasabah diri sama ada terpalit dengan dosa atau tidak itu memang sesuatu yang bagus. Tapi men’dosa’kan diri dengan perkara yang bukan dosa itu bukan daripada ajaran agama, itu adalah ta’annut dan tasyaddud yang ditegah dalam beragama. Islam tidak datang untuk menjadi musuh kepada naluri dan perasaan manusia tetapi untuk memberikan pedoman dan tunjuk ajar supaya manusia dapat mengawal naluri dan perasaannya ke arah kebaikan. Dengan itu dapatlah kita menjadi manusia yang baik bukan menjadi malaikat yang baik. Sekian, wassalam. -Semoga setiap persoalan yang bermain di fikiran kita, akhirnya dapat dileraikan.. InsyaAllah..-
0 comments:
Post a Comment