;

Monday, January 5, 2015

Sejarah Teknologi dalam Pendidikan di Malaysia

Lagi info 
i-think salah satu alat KBAT 

Teknologi pendidikan atau teknologi pengajaran merupakan satu proses yang kompleks dan bersepadu yang melibatkan manusia, prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah serta bentuk, menilai dan mengurus penyelesaian kepada masalah-masalah dalam keadaan di mana proses pembelajaran itu adalah bermatlamat terkawal.[1]
Teknologi pengajaran juga boleh bermaksud sebagai alat atau bahan yang digunakan untuk tujuan pembelajaran di samping guru, buku teks dan papan hitam.

Secara mudahnya, teknologi pendidikan merujuk kepada proses pengajaran atau alatan yang dapat membantu guru ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Teknologi boleh jadi objek kebendaan seperti mesin atau perkakasan, tetapi ia juga boleh merangkumi maksud yang lebih luas, termasuk sistem, kaedah penyusunan, dan teknik.

Program Teknologi Pendidikan mula diperkenalkan di dalam sistem pendidikan negara semenjak sebelum Merdeka, melalui alat bantu mengajar.  Melalui penggunaan  alat-alat bantu mengajar seperti filem jalur secara terancang, dapat menjelaskan konsep pembelajaran dan memperkayakan suasana pembelajaran dengan bantuan gambar, teks dan audio.
Pada tahun 1949, sebuah Jawatankuasa Ad-Hoc Alat Pandang Dengar (APD) Persekutuan telah dibentuk bagi menyelaraskan penerbitan topik-topik tempatan dan penggunaan alat bantu mengajar. Dengan perkembangan penerbitan bahan dan keperluan khidmat nasihat yang berterusan ke atas pengurusan dan penggunaan alat-alat tersebut, maka Jawatankuasa Alat Pandang Dengar Negeri dan Pusat Alat Pandang Dengar Negeri ditubuhkan pada tahun 1950-an. Pada tahun 1956, satu Jawatankuasa sepenuh masa dibentuk dan diketuai oleh seorang Setiausaha Alat Pandang Dengar.
Pada peringkat awal, perkhidmatan Unit Alat Pandang Dengar diletakkan di bawah Bahagian Latihan Guru, memandangkan guru-guru digalakkan menggunakan APD dalam proses pengajaran masing-masing. Dengan perombakan Kementerian Pelajaran pada tahun 1963, Unit APD dipindahkan ke Bahagian Sekolah-Sekolah dan seterusnya telah menubuhkan sebuah Pusat APD Kebangsaan dan 302 buah Pusat APD Daerah di seluruh negara untuk memberi perkhidmatan kepada 1.500 buah Sekolah Rendah Kebangsaan.
Usaha untuk memperluaskan penyampaian pendidikan ke kawasan-kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia diteruskan dengan melancarkan Perkhidmatan Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah pada tanggal 2 Mei 1966. Usaha ini merupakan kerjasama di antara Kementerian Penerangan dan Penyiaran dan Kementerian Pelajaran. Penumpuan diberikan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Seterusnya, pada tahun 1967, perkhidmatan ini diperluaskan ke sekolah-sekolah menengah.
Pada tanggal 18 Mei 1970, Perkhidmatan Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah telah diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran, tetapi Kementerian Penerangan dan Penyiaran terus menyediakan kakitangannya sehingga Kementerian Pelajaran mengganti kakitangannya sendiri pada satu tempoh yang sesuai kelak.
Pada akhir 1960-an, konsep multi-media telah berkembang dan diyakini berpotensi untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selaras dengan pelancaran siaran rancangan television pada tahun 1963, Kementerian Pelajaran telah menjalankan dua projek rintis pada tahun 1965 di sekolah rendah dan pada tahun 1966 di sekolah menengah untuk mengkaji kesesuaian mengadakan perkhidmatan TV Pendidikan. Dapatan ke atas  kajian amat menggalakkan dan mencadangkan untuk menubuhkan Perkhidmatan Televisen Pendidikan.Pada tahun 1968, Kementerian Pelajaran telah melantik En. Alan Hancock dari The Centre for Educational Television Overseas (London) menjalankan kajian tentang kemungkinan menggabungkan perkhidmatan alat bantu mengajar, radio pendidikan dan television pendidikan. Hasil laporan yang dikemukakan dan disokong dengan perkembangan konsep multi-media yang berpotensi untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran, dalam tahun 1971, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Projek penubuhan TV Pendidikan pula dimasukkan sebagai salah satu projek perkembangan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975). Pada 19 Jun 1972, perkhidmatan TV Pendidikan ke sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya oleh Y.A.B. Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein.
Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) telah diwujudkan pada 19 Jun 1972 dengan nama Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan.  Kelulusan untuk mewujudkan BTP dibuat oleh Kabinet dalam tahun 1971.  Fungsi utamanya pada ketika itu ialah memberi perkhidmatan siaran radio, perkhidmatan alat pandang-dengar dan perkhidmatan siaran TV ke sekolah-sekolah.  Dalam tahun 1988, nama Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan ditukar nama kepada Bahagian Teknologi Pendidikan apabila fungsinya diperluas bagi merangkumi perkhidmatan pusat sumber sekolah.  Kini,  BTP mempunyai 11 sektor dan 15 BTPN.

Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000 Quality Management Systems-Requirements. Sistem ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh BTP mempunyai standard kualiti yang dikehendaki.

0 comments:

Popular

Live Radio With Me

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP