Makanan di Hotel HARAM?
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Dalam keghairahan umat Islam berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan ini ramai yang tidak sedar bahawa hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara diiktiraf sebagai halal.
Malah seperti satu budaya, apabila tiba bulan Ramadan hotel-hotel tersebut akan berlumba-lumba menawarkan pakej berbuka puasa walaupun tidak mempunyai sijil halal untuk dapur utama mereka.
Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia, sehingga Mei lalu, hanya 27 hotel di seluruh negara yang dapur utama mereka diiktiraf halal.
Angka itu pastinya menimbulkan kemusykilan kerana pada bulan Ramadan ini hotel-hotel yang tidak mendapat pengiktirafan halal turut menganjurkan majlis berbuka puasa untuk umat Islam.
Tindakan mereka itu tentunya mengelirukan umat Islam terutama jika makanan yang disediakan tidak halal atau tidak menepati keperluan syariat Islam.
Sehubungan itu, Jakim menasihatkan umat Islam lebih berwaspada mengenai soal halal di sesebuah hotel bagi memastikan mereka tidak makan makanan yang diharamkan oleh agama.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, amat penting bagi umat Islam untuk memantau dan memastikan mereka hanya menjamu selera di hotel yang mempunyai persijilan halal sah bagi dapur utama mereka.
“Ketika Ramadan, seperti satu budaya, kebanyakan umat Islam gemar berbuka di hotel. Jadi diharap hotel yang dipilih itu menghidangkan makanan halal 100 peratus.
“Begitu juga dengan pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel, kami berharap penganjur lebih peka untuk memastikan tempat itu ada sijil halal Jakim atau jabatan agama Islam di negeri lain,” katanya.
Ini kerana, kata beliau, Ramadan dan soal berbuka puasa adalah ibadah bagi umat Islam.
“Janganlah nanti seharian berpuasa tetapi ia menjadi sia-sia hanya kerana hidangan yang dimakan tidak halal.
“Dalam hal ini, umat Islam mesti memainkan peranan supaya mereka hanya makan hidangan yang halal dan berkat,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, PPIM kecewa dengan sikap sebilangan umat Islam yang kurang peka dengan soal halal apabila menjamu selera di hotel.
“Sejak dulu lagi, PPIM menyedari ada umat Islam membelakangkan soal halal atau haram hidangan yang dimakan di hotel dengan tidak memastikan terlebih dahulu sama ada ia memiliki sijil halal sah atau sebaliknya,” katanya.
Noor Nirwandy menambah, apabila memilih untuk berbuka di hotel, umat Islam bukan sahaja perlu memikirkan soal halal makanan tetapi juga kesempurnaan tandas dan kelengkapan bilik solat.
Menurutnya, ada hotel termasuk yang bertaraf lima bintang tidak dilengkapi bilik solat dan tandas tanpa paip yang seolah-olah menunjukkan pengurusannya tidak mementingkan keperluan umat Islam.
Sumber : http://www.utusan.com.my"
0 comments:
Post a Comment